20 May 2010

PESRON PULAU PINANG

Persatuan Sukan & Rekreasi OKU Negeri Pulau Pinang (PESRON Pulau Pinang) telah ditubuhkan secara rasminya pada Disember 2008 dan ianya juga telah didaftarkan di bawah kawalan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS). PESRON Pulau Pinang telahpun mengadakan Mesyuarat Agung Kali Pertama bagi Penggal 2010-2012 pada 02 Mei 2010.

Setelah melalui satu pemilihan barisan jawatankuasa induknya pada tarikh tersebut, maka Jawatankuasa Induk PESRON Pulau Pinang telahpun bersetuju untuk mewujudkan beberapa cabang jawatankuasa sukan yang khusus untuk golongan OKU di Pulau Pinang yang membabitkan kategori sukan-sukan utama yang akan mengambil bahagian di dalam kejohanan sukan peringkat kebangsaan, iaitu Paralimpiad. Tidak terkecuali Jawatankuasa Sukan Olahraga PESRON Pulau Pinang juga telah diwujudkan.

Justeru, saya selaku Penyelaras Jawatankuasa Sukan Olahraga PESRON Pulau Pinang akan memaparkan info-info menarik berkaitan jawatankuasa ini untuk tatapan pembaca dan peminat sukan olahraga di Malaysia amnya dan di Pulau Pinang khususnya. Ikuti paparan selanjutnya mengenai halatuju, matlamat dan perspektif sebenar kewujudan pasukan (jawatankuasa) ini.

Tujuan utama penubuhan jawatankuasa sukan olahraga ini adalah untuk mencungkil bakat atlet-atlet OKU yang berminat untuk menyertai sukan olahraga sedari akar umbi. Mereka yang berminat untuk mengikuti program latihan sukan olahraga mestilah berumur 13 tahun dan ke atas (tiada had umur maksima). Setelah melepasi beberapa sesi pemilihan, bagi atlet yang layak akan dicadangkan untuk disenaraikan bagi mewakili Pulau Pinang untuk menyertai sebarang kejohanan sukan OKU yang dianjurkan.

Pada tahun ini, Kementerian Belia & Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menganjurkan satu kejohanan sukan dwitahunan terbesar di Malaysia, iaitu Paralimpiad Malaysia Kali Ke-XV, Melaka 2010 pada 25-27 November 2010 akan datang. Justeru, peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mempersiapkan atlet-atlet olahraga OKU Pulau Pinang yang mantap dan berpotensi bagi menyahut cabaran kejohanan sukan berkenaan.


Karnival Sukan OKU Pulau Pinang 2010.

Satu program sihat berupa karnival Sukan OKU Pulau Pinang akan diadakan pada penghujung Julai 2010 nanti. Dalam program tersebut juga akan diselitkan beberapa acara demonstrasi bagi sukan olahraga. Maklumat lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Kepada ibu bapa / waris atlet OKU ataupun para atlet OKU yang berkebolehan dalam sukan olahraga adalah dipelawa untuk menyertai karnival berkenaan. Sila emailkan maklumat peribadi serta nombor telefon saudara/saudari ke alamat : khafiz75@yahoo.com. Nyatakan juga kategori / klasifikasi kecacatan masing-masing untuk memudahkan saya membuat saringan nanti.

Tuan/puan para peminat sukan OKU adalah dijemput hadir beramai-ramai ke program tersebut. Jumpa di sana nanti...